6 peserta perdengarkan bacaan pada hari kedua musabaqah




Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman





BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 28 April. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah berkenan berangkat pada hari kedua Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.


Seramai tiga qari dan tiga qariah memperdengarkan bacaan Al-Quran masing-masing pada hari kedua musabaqah berkenaan.


Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H / 2026M; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha; dan Ketua Hakim Syar'ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar, bersama Ahli Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H / 2026M yang lain.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Emran bin Haji Kunchang.


Musabaqah kemudiannya diteruskan dengan bacaan Al-Quran oleh tiga peserta, iaitu Awang Ahmad Zulwaqar bin Haji Suhaili, Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki, dan Awang Haji Hazwan bin Haji Salim.


Majlis turut diserikan dengan persembahan bacaan Al-Quran (Zainul Qur'an), iaitu ayat-ayat suci Al-Quran secara bertarannum oleh tiga qari yang pernah mewakili negara di Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Kuala Lumpur, Malaysia, iaitu Awang Muhammad Zul-Hafiz bin Awang Tengah, Awang Haji Mohammad bin Ali, dan Awang Haji Muhammad Fikri bin Awang Haji Metussin.


Musabaqah disambung lagi dengan bacaan Al-Quran oleh tiga lagi peserta, iaitu Dayang Nurhaneyah binti Nordin, Awangku Adi Nazri bin Pengiran Haji Jofri, dan Dayang Nureen binti Mohd. Salleh.


Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya berangkat meninggalkan majlis setelah selesai keenam-enam peserta memperdengarkan bacaan masing-masing pada hari kedua musabaqah.


Majlis Pengumuman Keputusan bagi menentukan johan qari dan qariah Musabaqah Membaca Al Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447H / 2026M akan diadakan pada hari ketiga dan terakhir, iaitu esok malam, Rabu malam Khamis, 12 Zulkaedah 1447 bersamaan 29 April 2026 di tempat yang sama bermula jam 7.15 malam.


Tema Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447H / 2026M ialah 'Mengukuhkan Pembelajaran Al-Quran dan Menghayati Ajarannya'.


Musabaqah tahun ini dikendalikan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama, JPM, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, dan Datastream Digital Sdn. Bhd. (DST).



Close